Saturday, August 14, 2010

Pasukan Bergajah Abrahah

Sirah Nabawiyyah
KEMBALI kita kepada Raja Zu Nuwas, raja Yaman yang fanatik Yahudi, yang memerintah negeri yang makmur dan kaya raya, yang telah melenyapkan penduduk Najran di dalam parit berapi kerana penduduk itu menganut agama Nasrani yang diajarkan oleh Nabi Isa AS.
Rupanya ada seorang lelaki penduduk Najran yang dapat meloloskan diri dari pembunuhan kejam itu. Lelaki ini lari dan meminta pertolongan kepada raja Rom, atas nasib penduduk Najran yang beragama Nasrani yang telah mengalami nasib buruk itu.

Kerana letaknya Yaman terlalu jauh dari kerajaan Rom (Syam), maka raja Rom menganjurkan kepada orang itu untuk minta bantuan raja Habsyah (Ethiopia), kerana raja itu memang kuat dan beragama Nasrani pula. Raja Rom lalu menulis surat kepada raja Habsyah. Surat itu dibawa oleh lelaki itu sendiri menuju negeri Habsyah.
Sesudah Najasyi (Nagus, raja Habsyah) membaca surat raja Rom itu, dia lalu mendoa kepada Allah, mudah-mudahan Allah SWT memberkati arwah penduduk Najran yang penuh iman dan taqwa itu. Doa ini diucapkannya dengan airmata yang berlinang-linang, terharu sangat atas nasib penduduk Najran yang tabah dan sabar itu.
Raja Najasyi tidak dapat menahan sabarnya terhadap Raja Zu Nuwas, Yahudi yang ganas itu. Dia ingin membalas dendam, demi untuk kepentingan agama dan umat Nasrani seluruhnya. Tentera besar lalu disiapkannya, dikirim langsung menuju Yaman untuk membalas kekejaman dengan kekejaman pula.
Pertempuran hebat lalu terjadi antara tentera Habsyah di bawah pimpinan Raja Najasyi, melawan tentera Yaman di bawah pimpinan Raja Zu Nuwas. Tentera Yaman dapat dikalahkan, negara Yaman seluruhnya jatuh di bawah kekuasaan Habsyah.
Raja Habsyah (Najasyi) lalu mengangkat Abrahah menjadi gabenor di Yaman. Penduduk Yaman yang fanatik Yahudi itu dikristiankan seluruhnya.
Jauh di sebelah utara negeri Yaman, ada sebuah kota tua yang bersejarah iaitu Kota Makkah, di mana terdapat sebuah Rumah Tuhan, Kaabah namanya. Satu Rumah yang didirikan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail beberapa abad yang silam. Ke sanalah umat manusia Arab dari pelbagai negeri datang saban tahun, berkumpul menunaikan haji untuk menyembah Tuhan mereka yang terdiri dari patung-patung batu yang mereka tancapkan di sekitar Kaabah itu. Tidak sedikit pula tiap tahun penduduk Yaman sendiri datang ke sana berkumpul dan berhaji, menurut haji jahiliah itu.
Dengan kedatangan umat manusia yang banyak itu saban tahun, maka negeri Makkah itu menjadi ramai dan bangsa Quraisy yang menguasai Kaabah itu, makin terhormat dan mendapat penghidupan yang layak pula.
Lalu timbul niat buruk di hati Abrahah, iaitu dengan menjalankan pengaruhnya yang besar, dia akan membelokkan umat manusia itu agar tidak lagi datang ke Makkah saban tahun, tetapi hendaknya datang ke Yaman saja untuk menunaikan haji itu.
Untuk ganti Kaabah di Makkah, lalu dia mendirikan gereja besar di kota San’a, ibu kota negeri Yaman ketika itu dan kepada gereja besar itulah umat manusia dianjurkannya menunaikan haji saban tahun. Dengan jalan begitu, orang-orang itu dapat ditariknya ke dalam agama Nasrani dan kedatangan manusia yang banyak itu akan menambah kemakmuran negerinya sendiri. Gereja besar itu dibuatnya sebaik-baiknya, dihiasi dengan berbagai-bagai ukiran yang menarik hati penuh dengan perkakas yang berharga.
Sungguhpun begitu, tidak seorang juga di antara manusia bangsa Arab yang mahu menunaikan haji ke gereja besar San’a itu, sekalipun sudah hebat dianjurkan dan diperintahkan oleh raja besar pula. Hati mereka terus tertambat ke Kaabah yang ada di kota Makkah, sekalipun Kaabah itu tidak begitu menarik mata tampaknya, malah tidak mempunyai perhiasan-perhiasan yang mewah-mewah. Entah kerana fanatik kejahiliahan, entah kerana lain hal, kerana makbulnya doa Nabi Ibrahim dan Ismail ketika meletakkan batu pertama buat pembikinan Kaabah itu:
“Ya Allah,” doa Ibrahim. “Jadikanlah hati manusia tertarik ke Kaabah ini dan berilah penduduknya rezeki yang merupakan buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur kepada Engkau.”
Alangkah marahnya hati Abrahah dan bangsa Yaman sendiri setelah terbukti, bahawa tidak seorang juga bangsa Arab yang mahu mengubah Kaabah mereka ke Yaman. Kerana marahnya itu, Abrahah lalu bersumpah akan menuntuhkan Kaabah yang ada di kota Makkah dengan kekuatan senjata yang ada padanya. Apabila Kaabah itu sudah diruntuhkan pada fikirannya, terpaksa semua bangsa Arab akan datang ke Yaman, ke gereja besar yang sudah disediakannya itu untuk menunaikan haji. Abrahah lalu mempersiapkan tentera yang besar jumlahnya dengan berkenderaan gajah. Pasukan ini lalu berangkat menuju ke kota Makkah untuk meruntuhkan Kaabah.
Setelah orang-orang Arab mendengar berita ini, berita raja Habsyah akan datang dengan tentera besar yang semuanya berkenderaan gajah untuk meruntuhkan Kaabah, Rumah Suci yang mereka hormati, dan akan merosakkan semua berhala-berhala mereka yang bergantungan di dalamnya, mereka bersiap untuk mempertahankannya dengan segala kekuatan yang ada padanya. Tetapi sebentar saja, mereka semuanya terpaksa menyerah ditawan oleh pasukan Abrahah, memang kerana mereka kekurangan tenaga dan kekuatan persenjataannya.
Perlawanan mereka yang sudah patah ini, disusul pula oleh perlawanan lainnya dari bangsa Arab juga, tetapi mereka pun mengalami nasib yang sama, sama-sama ditawan dan tidak dapat berbuat apa-apa terhadap pasukan Abrahah yang kuat serta ramai itu. Sebaliknya, Abrahah menjadi bertambah membusungkan dada dengan kemenangan-kemenangannya yang gilang-gemilang itu. Pasukannya terus maju menuju Makkah dan semakin dekat mereka ke kota Makkah, semakin jelas sifat takabbur mereka.
Sebelum memasuki daerah kota Makkah, Abrahah memerintahkan pasukannya berhenti duhulu, kerana dia mahu mengirimkan surat seruan terhadap penduduk Makkah. Dalam surat itu penduduk Makkah diperintahkan tunduk dan mengalah saja dan membiarkan pasukannya masuk meruntuhkan Kaabah itu, sambil Abrahah mencari penunjuk jalan untuk mendapatkan jalan yang aman menuju ke pusat kota Makkah.
Di dekat kota Taif, di desa yang bernama Mugammas, Abrahah dengan diiringkan pengawalnya, lalu keluar-masuk daerah Tihamah, di mana Abrahah merampas semua kekayaan bangsa Quraisy yang tinggal di desa itu. Dua ratus ekor unta kepunyaan Abdul Mutthalib bin Hasyim (datuk Nabi Muhammad SAW) turut dirampasnya pula, sedangkan Abdul Mutthalib ini adalah seorang yang paling terhormat dipandangan bangsa Qunaisy, kerana dialah yang memegang kunci dan menjadi penjaga Rumah Suci Kaabah itu.
Kejadian yang tidak tahu adat ini, sangat menerbitkan kegoncangan dan kemarahan yang memuncak di kalangan bangsa Quraisy. Mereka banyak yang ingin membunuh Raja Abrahah ketika itu juga. Tetapi apa daya, kekuatan yang ada padanya tidak memungkinkan untuk melancarkan perlawanan, mereka hanya tinggal mengurut dada menahan marah di hatinya.
Seluruh bangsa Quraisy yang menjadi penduduk Makkah geram dan marah bukan kepalang. Tiba-tiba datanglah seorang utusan Abrahah membawa sepucuk surat, di mana dinyatakan bahawa Abrahah ingin bertemu dengan ketua (Samyid) kota Makkah sendiri.
Abdul Mutthalib nin Hasyim datang menemui utusan sebagai Ketua Makkah, pemimpin rakyat Quraisy dan orang yang bertanggungjawab terhadap Ka’bah. Utusan itu segera berkata kepadanya:
“Raja Abrahah berpesan kepada tuan bahawa raja bukan datang untuk memerangi bangsa Quraisy, tetapi hanya untuk meruntuhkan rumah Kaabah saja. Kalau tuan dan bangsa Quraisy tidak menghalangi maksudnya itu, maka tidak akan terjadi pertumpahan darah dan raja memesan supaya tuan datang menemuinya.”
Abdul Mutthalib menjawab: “Demi Allah, kami tidak akan memerangi kamu, sebab tiada kekuatan bagi kami untuk berperang.”
“Kalau begitu mari kita menghadap raja,” kata utusan itu mengajak Abdul Mutthalib.
Utusan itu dengan diiringkan Abdul Mutthalib dan beberapa pemuka dan pembesar Quraisy berjalan bersama-sama menuju perkemahan tentera Abrahah untuk bertemu dengan Abrahah. Oleh utusan itu, Abdul Mutthalib diperkenalkan kepada Abrahah:
“Inilah ketua bangsa Quraisy. Sifatnya pemurah dan kasihsayang terhadap sesama manusia, selalu mengorbankan hartanya untuk orang-orang yang terlantar, sifatnya tenang dan segenap bangsa Quraisy hormat dan tunduk kepadanya.”
Abdul Mutthalib diperlakukan sebagai tetamu terhonmat. Raja Abrahah berkenan duduk bersama-sama Abdul Mutthalib di atas sebuah tikar dan bercakap-cakap. Dalam percakapan itu Abdul Mutthalib hanya minta, agar semua untanya yang telah dirampasnya dikembalikan kepadanya.
Mendengar permintaan itu, Abrahah menjadi hairan dan berkata: “Kami datang untuk meruntuhkan Kaabah, kenapa engkau hanya membicarakan tentang dua ratus ekor unta saja, sedangkan agama dan Kaabah yang engkau puja itu engkau lupakan?”
Abdul Mutthalib menjawab: “Saya ini hanya tuannya unta-unta itu, adapun Kaabah itu ada tuannya sendiri yang akan memeliharanya.”
“Kalau begitu engkau tidak akan menghalang saya?” tanya Abrahah pula.
“Itu adalah urusan tuan dengan tuan Kaabah itu sendiri,” jawab Abdul Mutthalib pula.
Untuk menyenangkan hati Abdul Mutthalib, semua unta yang dirampas itupun dikembalikan semuanya. Mendengar itu, datanglah utusan dari suku bangsa Tihamah, meminta agar semua harta benda Tihamah yang dirampas itu pun dikembalikan pula kepada bangsa Tihamah, tetapi permintaan ini tidak didengar oleh Abrahah, ditolaknya mentah-mentah, sehingga bangsa Tihamah kembali dengan tangan hampa dan geram hati.
Abdul Mutthalib menasihatkan kepada Abrahah, agar tentera Abrahah menempuh jalan ke lereng gunung dalam memasuki kota Makkah, kerana jalan itulah yang paling aman dari gangguan manusia.Hari sudah mulai malam yang gelap gelita. Di malam itulah tentera Abrahah akan memasuki kota Makkah untuk menghancurkan Kaabah.
Keadaan penduduk kota Makkah mulai panik. Abdul Mutthalib kembali ke kota, dilihatnya semua penduduk kecil-besar, laki-laki perempuan sudah sibuk mengungsi, dengan membawa semua barang-barang dan binatang ternak, menghindarkan diri dari bahaya yang mungkin timbul. Terdengarlah tangis anak-anak bayi yang sedang digendung ibunya, bunyi dan jeritan kambing dan unta yang dikerahkan mengungsi bersama-sama, sedu-sedan perempuan-perempuan dan orang-orang yang sudah tua-tua.
Abdul Mutthalib dengan diiringkan para cerdik cendekianya, menuju ke Kaabah untuk mengucapkan doanya. Setelah mereka masing-masing mencium Kaabah serta mendoa agar Allah memelihara Kaabah dari bencana tentera bergajah Raja Abrahah. Mereka meninggalkan Kaabah dengan airmata yang berlinang-linang, menuju ke puncak sebuah bukit, untuk menyaksikan kejadian selanjutnya.
Setelah kota Makkah sunyi sepi dari penduduk yang sudah sama mengungsi itu, maka tentera Abrahah mulai bergerak untuk memasuki kota Makkah yang terbuka itu dengan semangat yang menang perang, riuh gembira, sombong dan congkak tidak terhingga. Masing-masing dengan kenderaan gajah yang besar-besar, berbaris pasukan demi pasukan.
Tiba-tiba Allah mengutus burung yang berbondong-bondong (Ababil), yang datang pasukan demi pasukan pula. Masing-masing burung itu membawa batu kecil dari tanah yang terbakar (Sijjil), dengan paruhnya. Batu-batu kecil itu dijatuhkan tepat mengenai kepada masing-masing pasukan bergajah.
Hasilnya bukan hanya luka parah, tetapi pasukan Abrahah dan gajah-gajahnya menjadi hancur dan lumat selumat-lumatnya, laksana daun kayu yang dimakan ulat. Bertebaran daging dan tulang mereka di atas tanah, tidak seorang pun yang terluput dari bahaya maut. Melihat kejadian yang luarbiasa itu, Abrahah mulai takut, lalu kembali melarikan diri, pulang menuju San’a di mana dia lalu mati kerana luka yang dideritanya dalam perang ajaib itu.
Kota Makkah terpelihara dari bahaya bencana, begitu pula Kaabah yang mulia itu, bahkan sampai sekarang pun belum pernah Kaabah itu dapat dirosakkan oleh tentera negeri mana pun.
Kejadian hebat dan ajaib itu, menjadi tahun sejarah yang pertama bagi seluruh bangsa Arab dan pada tahun itu pulalah tidak lama kemudian di kota Makkah, lahir seorang Manusia suci, Nabi Muhammad SAW. Kejadian itu adalah tanda dan hikmat kelahiran Nabi yang mulia ini. Dengan lahirnya Nabi Muhammad itu nanti, Kaabah tetap menjadi Rumah Suci dengan ertikata yang sebenarnya, sehinggalah Hari Qiamat nanti.
Di sanalah umat Islam dari pelbagai negeri jauh dan dekat, bangsa dan warna kulit, berkumpul saban tahun untuk menunaikan ibadah haji mereka sebagaimana yang diperintahkan Allah. Dari tahun ke tahun, dari abad ke abad, semakin banyak orang yang datang ke sana.
Kisah tentera bergajah ini disemadikan di dalam Al-Quran, Surah Al-Fiil (Gajah) ayat 1 hingga 5. Sebagai pengajaran, dapatlah disimpulkan bahawa walaupun terdapat pelbagai rancangan yg dilaksanakan oleh musuh-musuh Allah untuk menghancurkan Islam, Allah tetap akan memeliharanya hinggalah Hari Qiamat kelak.
Allahu a’lam.

No comments:

Post a Comment