Saturday, August 14, 2010

Nabi Idris ‘alaihissalam


Tidak banyak keterangan yang diperolehi tentang kisah Nabi Idris di dalam Al-Quran, mahupun dalam kitab-kitab Tafsir dan kitab-kitab sejarah Nabi-nabi. Di dalam Al-Quran hanya terdapat dua ayat tentang Nabi Idris, iaitu di dalam surah Maryam ayat 56 dan 57:
” Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Idris; sesungguhnya adalah dia amat benar (tutur katanya dan imannya), serta dia seorang Nabi. Dan Kami telah mengangkatnya ke tempat yang tinggi darjatnya..” (Maryam : 56 - 57)

Nabi Idris adalah keturunan keenam dari Nabi Adam, putera dari Yarid bin Mihla’iel bin Qinan bin Anusy bin Syith bin Adam AS. Baginda merupakan keturunan pertama yang dikurniakan kenabian, setelah Adam dan Syith.
Menurut sesetengah riwayat Nabi Idris bermukim di Mesir, di mana Baginda berdakwah untuk agama Allah, mengajarkan tauhid dan beribadat menyembah Allah, serta memberi beberapa pendoman hidup bagi pengikut-pengikutnya agar menyelamatkan diri dari siksaan di akhirat dan kehancuran serta kebinasaan di dunia. Baginda hidup sehingga usianya 82 tahun.
Di antara beberapa nasihat dan kata-kata mutiaranya ialah :
1. Kesabaran yang disertai iman kepada Allah membawa kemenangan.
2. Orang yang bahagia ialah orang yang berwaspada dan mengharapkan syafaat dari Tuhannya dengan amal-amal solehnya.
3. Apabila memohon sesuatu kepada Allah dan berdoa, maka ikhlaskanlah niat. Demikian pula dengan ibadah puasa dan solat.
4. Janganlah bersumpah dalam keadaan berdusta, dan janganlah menuntut sumpah dari orang yang berdusta agar tidak menyekutui mereka dalammelakukan dosa.
5. Taatlah kepada raja dan tunduklah kepada pembesar, serta penuhilah selalu lisan dengan ucapan syukur dan puji kepada Allah.
6. Janganlah iri hati kepada orang-orang yang baik nasibnya, kerana mereka tidak akan banyak dan lama menikmati kebaikan nasibnya utu.
7. Barangsiapa yang melampaui kesederhanaan, tiada sesuatu pun yang akan memuaskannya.
8. Tanpa membahagi-bahagikan nikmat yang diperolehnya, seseorang tidak dapat bersyukur kepada Allah atas nikmat-nikmat yang diperolehinya itu.
Sesuai dengan firman Allah, Nabi Idris telah diangkat ke martabat yang tinggi. Ibnu Abi Hatim dalam tafsirnya meriwayatkan bahawa Nabi Idris wafat tatkala berada di langit keempat, dibawa oleh seorang Malaikat.
Allahu a’lam bisshawab.

No comments:

Post a Comment