Perkataan ‘Asyuuraa’ (عاشوراء)diambil dari lafaz Al-‘Aasyir (العاشر)yang membawa maksud sepuluh. Ini berketepatan dengan hari itu iaitu hari yang kesepuluh dari bulan Muharram. Dalam penggunaan istilah Islam, bilangan hari keesokannya diambil dari malam sebelumnya. Ini bermakna setelah berlalu malam ‘Asyuuraa’ barulah terbitnya fajar siang hari ‘Asyuuraa’. Ini bersesuaian juga dengan penggunaan pada bulan Ramadhan. Sebagai contoh, kita akan melalui malam ke-27, barulah keesokan harinya dinamakan hari ke-27 Ramadhan.
SEJARAH PUASA HARI ‘ASYUURAA’
عن عائشة قالت: كان قريش تصوموا عاشوراء في الجاهلية، وكان رسول الله صلى الله عليه وسلم يصومه. فلما هاجر الى المدينة صامه وأمر بصيامه. فلما فرض شهر رمضان قال: من شاء صامه ومن شاء تركه.
(رواه البخاري ومسلم وأحمد ومالك وأبو داود والترمذي وابن ماجه)
Dari Aisyah berkata: Kaum Quraisy mereka berpuasa ‘Asyuuraa’ pada zaman jahiliah, dan Rasulullah saw juga berpuasa. Apabila Rasulullah berhijrah ke Madinah baginda berpuasa dan menyuruh sahabat yang lain berpuasa. Apabila difardhukan puasa Ramadhan baginda berkata: Barangsiapa yang mahu berpuasa (‘Asyuuraa’) maka teruskanlah, barangsiapa yang tidak mahu maka tinggalkanlah. (Riwayat Bukhari, Muslim, Ahmad, Malik, Abu Daud, Tirmizi & Ibnu Majah)
عن ابن عباس قال: قدم النبي صلى الله عليه وسلم المدينة فرأى اليهود تصوم عاشوراء، فقال: ما هذا؟ قالوا: يوم صالح، نجى الله فيه موسى وبني إسرائيل من عدوهم، فصامه موسى، فقال النبي: أنا أحق بموسى منكم، فصامه وأمر بصيامه. (رواه البخاري ومسلم وأحمد وأبو داود وابن ماجه)
Dari Ibnu Abbas berkata: Setibanya Rasulullah saw di Madinah, dilihatnya penduduk Yahudi Madinah berpuasa ‘Asyuuraa’. Bertanya Rasulullah: Apakah ini? Mereka menjawab: Ini adalah hari yang baik, hari yang Allah swt menyelamatkan Nabi Musa dan Bani Israel dari musuh mereka, maka berpuasalah Nabi Musa. Rasulullah berkata: Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu semua. Maka berpuasalah Rasulullah dan disuruh sahabat yang lain berpuasa. (Riwayat Bukhari, Muslim, Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah)
++ Nabi saw berpuasa ‘Asyuuraa’ sebelum diangkat menjadi Rasul kerana mengikut adat penduduk Makkah. Sesudah menjadi Rasul, baginda berhenti dari berpuasa ‘Asyuuraa’ kerana menganggap ia adalah amalan jahiliah penduduk Makkah. Namun setelah tiba di Madinah, baginda mengetahui bahawa berpuasa ‘Asyuuraa’ merupakan daripada syariat Nabi Musa, maka baginda berpuasa dan disuruh juga sahabat yang lain. (Rujukan: Al-Muntaqa Syarah Muwattho’)
++ Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu semua…Kata-kata Rasulullah ini dituju kepada Yahudi Madinah. Mereka beriman dengan Nabi Musa, namun mereka merubah segala syariat Nabi Musa sewenangnya. Manakala Nabi Muhammad beriman dengan Nabi Musa, baginda mengikut syariat Nabi terdahulu selagi mana tidak diwahyukan perkara baru untuk menggantikan syariat tertentu yang terdahulu. (Rujukan: Zaadul Ma’ad karangan Ibnu Qayyim)
++ Sejarah membuktikan Baginda tiba di Madinah pada bulan Rabiul Awwal, maka bagaimana hadis ini menjelaskan baginda melihat penduduk Madinah berpuasa ‘Asyuuraa’? Jawapannya, maklumat ini disingkap dari kata-kata sahabat, mereka berkongsi maklumat dengan Rasulullah tentang amalan penduduk Madinah. Maka apabila baginda mengetahui mereka mengamalkan puasa ‘Asyuuraa’, maka ditanyalah baginda dengan lebih lanjut. Maka tercetuslah hadis di atas. (Rujukan: Zaadul Ma’ad karangan Ibnu Qayyim)
KELEBIHAN BERPUASA HARI ‘ASYUURAA’
عن أبي قتادة: أن رسول الله صلى الله عليه وسلم سئل عن صوم يوم عرفة، فقال: يكفر السنة الماضية والباقية، وسئل عن صوم يوم عاشوراء، فقال: يكفر السنة الماضية، وسئل عن صوم يوم الإثنين، فقال: ذلك يوم ولدت فيه، وبعثت فيه، وأنزل علي فيه. (رواه مسلم)
Dari Abi Qatadah berkata: Rasulullah saw ditanya tentang puasa hari Arafah, baginda menjawab: Diampunkan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. Ditanya tentang puasa hari ‘Asyuuraa’, baginda menjawab: Diampunkan dosa setahun yang lepas. Ditanya tentang puasa hari Isnin, baginda menjawab: Itulah hari aku dilahirkan, hari aku diangkat menjadi Rasul, dan hari diturunkan Al-Quran padaku buat kali pertama. (Riwayat Muslim)
++ – Imam Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim menjelaskan bahawa yang dimaksudkan di sini adalah dosa-dosa kecil sahaja. Jika seseorang itu tidak mempunyai dosa kecil, moga-moga diringankan dosa besarnya. Jika tiada juga dia berdosa besar, akan diangkat darjat & martabatnya di sisi Allah azza wajall –.
SUNNAH NABI DALAM BERPUASA ‘ASYUURAA’
عن ابن عباس قال: لما صام رسول الله يوم عاشوراء، وأمر بصيامه قالوا: يا رسول الله، إنه يوم تعظمه اليهود والنصارى. فقال: إذا كان العام المقبل إن شاء الله صمنا اليوم التاسع. قال: فلم يأت العام المقبل حتى توفي رسول الله. (رواه مسلم وأبو داود)
Dari Ibnu Abbas berkata: Ketika Rasulullah saw berpuasa hari Asyuraa’ dan menyuruh sahabat yang lain berpuasa juga, mereka berkata: Ya Rasulullah, sesungguhnya ini adalah hari kebesaran Yahudi dan Nasrani. Maka berkata Rasulullah: Jika diizinkan Allah, kita akan berpuasa juga pada hari yang ke-9 pada tahun hadapan. Berkata Ibnu Abbas: Rasulullah saw tidak berkesempaian untuk menunaikannya kerana telah wafat sebelum itu. (Riwayat Muslim dan Abu Daud)
++ Pendapat Imam Asy-Syafie dan Imam Ahmad, disunatkan berpuasa pada hari ke-9 dan juga ke-10 berdasarkan pada hadis ini. (Rujukan: Taudih Al-Ahkam Min Bulughil Maram, karangan Abdullah Al-Bassaam)
++ Jika tidak berpuasa pada hari ke-9, disunatkan oleh mazhab Asy-Syafie untuk berpuasa pada hari ke-11. Malah Imam Asy-Syafie ada menyebut dalam kitab Al-Umm disunatkan juga berpuasa pada ketiga-tiga hari ini sekali gus, ke-9, ke-10 dan ke-11. Keempat-empat mazhab melainkan Al-Hanafiyyah mengatakan tiada salahnya berpuasa hanya pada hari ke-10 sahaja, tiada makruhnya sama sekali, ia dibolehkan. (Rujukan: Fiqhul Islam Wa Adillatuh karangan Wahbah Zuhailiy)
++ Maka kaedah berpuasa untuk hari ‘Asyuuraa’ mengikut keutamaan:
1) Hari ke-9 + hari ke-10 + hari ke-11.
2) Hari ke-9 + hari ke-10.
3) Hari ke-10.
(Rujukan: Zaadul Ma’ad karangan Ibnu Qayyim)
No comments:
Post a Comment