Saturday, May 1, 2010

NABI NUH AS

DUNIA

Turki arah kayu bahtera Nabi Nuh dibawa keluar disiasat


GAMBAR fail menunjukkan rak kayu yang didakwa sebahagian daripada bahtera Nabi Nuh yang ditemui di dalam lereng Gunung Ararat, Turki.


ANKARA - Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Turki, Ertugrul Gunay mengarahkan siasatan dilakukan bagi mengetahui bagaimana serpihan kayu yang didakwa daripada bahtera Nabi Nuh berjaya dibawa keluar dari negara itu ke China, lapor media semalam.

"Bagaimanakah objek-objek itu boleh berada di sana (China)?," kata Ertugrul.

Kenyataan itu disiarkan oleh akhbar Milliyet semalam.

Satu ekspedisi dari China dilaporkan telah mempamerkan serpihan kayu yang didakwa daripada bahtera Nabi Nuh pada satu sidang media pada awal minggu ini di Hong Kong.

Kumpulan ekspedisi yang mengandungi 15 anggota tersebut mendakwa serpihan itu ditemui di dalam lereng Gunung Ararat pada ketinggian 4,000 meter di timur Turki.

Pada sidang akhbar yang diadakan pada awal minggu ini, salah seorang anggota ekspedisi itu yang merupakan seorang pembikin filem dokumentari, Yeung Wing-cheung berkata pihaknya 99.99 peratus yakin telah menemui bahtera Nabi Nuh.

Kumpulan ekspedisi berkenaan mendakwa telah menemui spesimen kayu dan ujian penentuan tarikh karbon mendapati serpihan kayu yang ditemui di Gunung Ararat itu berusia 4,800 tahun iaitu tarikh yang dianggap berlakunya banjir besar di zaman Nabi Nuh.

Menurut kitab Injil, banjir besar itu berlaku selepas banyak kejahatan berlaku di bumi menyebabkan Nabi Nuh diminta membina bahtera dan membawa bersamanya sepasang haiwan daripada setiap spesies.

Ertugrul berkata, siasatan itu juga bertujuan untuk mendapatkan maklumat mengenai kehadiran seorang pegawai Turki pada sidang akhbar penemuan bahtera Nabi Nuh di Hong Kong. Pegawai itu hadir tanpa kebenaran daripada pemerintah Turki.

Namun, menteri tersebut menegaskan, beliau menyokong penemuan bahtera Nabi Nuh itu di Turki dengan memujinya sebagai satu bonus untuk sektor pelancongan. - AFP


Saintis Britain minta bukti kukuh


GAMBAR yang disiarkan agensi berita AFP pada Selasa lalu menunjukkan seorang anggota ekspedisi melihat dinding kayu yang dipercayai kandang haiwan di dalam bahtera Nabi Nuh di Gunung Ararat, Turki.


LONDON - Seorang saintis Britain meminta satu kumpulan ekspedisi China-Turki menunjukkan lebih banyak bukti saintifik bahawa mereka telah menemui bahtera Nabi Nuh di Gunung Ararat, Turki, lapor sebuah akhbar semalam.

Pada Isnin lepas, agensi berita AFP melaporkan sekumpulan 15 penjelajah dari Hong Kong dan Turki mendakwa menemui tujuh struktur berupa kandang kayu besar di dalam lereng curam bersalji pada ketinggian sekitar 4,000 meter berhampiran puncak Gunung Ararat di timur Turki.

"Kami belum dapat mengesahkan 100 peratus ia bahtera Nabi Nuh tetapi kami 99.9 peratus yakin bahawa kami telah menemuinya (bahtera Nabi Nuh)," kata seorang pembikin filem yang menyertai ekspedisi itu, Yeung Wing-cheun berhubung penemuan sisa tinggalan kayu pada Oktober tahun lalu di gunung berkenaan.

Menurutnya, sisa tinggalan dan struktur kayu itu bukan peninggalan penempatan manusia dahulu kala kerana tiada tempat tinggal manusia pernah ditemui pada ketinggian melebihi 3,500 meter di lokasi berkenaan.

Kumpulan penjelajah itu enggan mendedahkan dengan tepat lokasi penemuan itu sehingga pemerintah Turki bersetuju untuk mengisytiharkan kawasan tersebut sebagai tapak arkeologi.

"Saya melihat struktur diperbuat daripada papan kayu balak. Setiap papan selebar kira-kira 20 sentimeter," kata seorang ahli kumpulan ekspedisi itu, Panda Lee pada sidang akhbar di Hong Kong Isnin lepas.

"Saya turut melihat pasak-pasak kayu, bukti struktur itu adalah binaan dahulu kala sebelum penggunaan paku besi.

"Kami kemudian berjalan ke satu lagi tapak. Saya dapat melihat beberapa serpihan papan dilitupi glasier, sesetengahnya memiliki panjang sehingga 20 meter," tambah Lee.

Menurutnya, dinding kayu sebuah kandang adalah rata dan melengkung seperti dinding bahtera manakala klip video yang ditunjukkan kumpulan itu mendedahkan struktur kandang itu mempunyai beberapa pintu, tangga dan pasak kayu.

Pasukan penjelajah itu memberitahu, papan yang mereka temui berasal daripada kayu pokok pain Cypress walaupun kitab Injil sebelum ini menyatakan, bahtera Nabi Nuh dibina daripada kayu kokka.

Kitab al-Quran dan Injil ada menyatakan, banjir besar berlaku di bumi dengan Tuhan memerintah Nabi Nuh membina sebuah bahtera dan membawa bersamanya haiwan.

Menurut kitab Taurat, ukuran panjang bahtera Nabi Nuh adalah 160 meter, lebar 24 meter dan tinggi 16 meter iaitu lebih tinggi daripada sebuah bagunan tiga tingkat manakala dek bahtera itu pula seluas 36 gelanggang tenis.

Ujian penentuan tarikh karbon mendapati struktur yang ditemui di Gunung Ararat itu berusia 4,800 tahun.

Bagaimanapun, seorang pakar arkeologi Britain, Mike Pitt berkata, buat masa ini, kumpulan ekspedisi itu masih belum mengemukakan bukti kukuh.

"Jika berlaku banjir besar yang berupaya mengapungkan kapal hingga ketinggian 4,000 meter ke lereng sebuah gunung pada 4,800 tahun lalu, saya yakin terdapat bukti geologi mengenai banjir ini di seluruh dunia tetapi sehingga kini tiada bukti lagi," kata Pitt.

Penganut agama Kristian sebelum ini menyatakan Nabi Nuh memerlukan 40,000 haiwan bagi mewakili setiap jenis binatang di bumi.

Namun, mereka yang sangsi dengan kenyataan itu memberitahu, Nabi Nuh perlu membina kapal amat besar yang boleh memuatkan sekurang-kurangnya 1.5 juta spesies haiwan sekiranya ingin membawa bersama semua haiwan di bumi.

Ekspedisi penemuan serpihan kayu itu turut boleh dilihat di laman perkongsian video YouTube di Internet. - Agensi


Kayu 20 meter bukti kukuh bahtera Nabi Nuh


GAMBAR di laman YouTube menunjukkan serpihan kayu yang ditemui oleh satu kumpulan ekspedisi China-Turki di dalam lereng Gunung Ararat, Turki.


WASHINGTON - Seorang anggota ekspedisi China-Turki mempertahankan dakwaan mengenai penemuan serpihan bahtera Nabi Nuh di celah lereng Gunung Ararat setinggi 4,000 meter di Turki, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Sebelum ini terdapat pelbagai pihak yang meragui penemuan kumpulan itu selepas pendedahannya dibuat pada satu sidang akhbar pada minggu lalu di Hong Kong sehingga seorang saintis Britain mahu bukti lebih kukuh dikemukakan.

"Bagaimanakah sebuah kapal boleh berada di atas gunung," kata seorang anggota ekspedisi itu yang memasuki Gunung Ararat pada Oktober lalu, Yeung Wing-cheung.

Menurut seorang penyelaras ekspedisi itu, Clara Wei, satu-satunya rekod struktur kayu yang ditemui di gunung itu ialah daripada bahtera Nabi Nuh.

"Sehingga kini, saya percaya ini ialah satu penjelasan yang paling munasabah. Kami tidak mempunyai penjelasan lain. Kami tidak mempunyai sebarang perkara untuk disembunyikan," tambahnya.

Menurut Wei: "Anda boleh menyewa beberapa ekor kuda untuk membawa beg tetapi anda tidak boleh mengimbangi kuda tersebut dengan kayu sepanjang 20 meter ( yang ditemui di dalam lereng gunung itu)."

Dia berkata, tidak ada tembikar dan bukti kebudayaan lain ditemui di gunung tersebut.

Pada Isnin lepas, kumpulan ekspedisi tersebut mengumumkan penemuan struktur dan serpihan kayu bahtera Nabi Nuh di dalam lereng Gunung Ararat, Turki dengan menyatakan ujian karbon menunjukkan barang yang ditemui itu berusia 4,800 tahun iaitu tarikh sama kejadian banjir besar berlaku.

Beberapa pihak meragui penemuan itu kerana pasuakan ekspedisi itu tidak mendedahkan lokasi sebenar tempat penemuan berkenaan.

Namun, kumpulan ekspedisi itu menyatakan lokasi sebenar tempat penemuan tersebut akan didedahkan selepas pemerintah Turki bersetuju menjadikan tempat penemuan sebagai kawasan arkeologi.

Pada Jumaat lalu, agensi berita AFP menyatakan, Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Turki, Ertugrul Gunay mengarahkan siasatan dilakukan bagi mengetahui bagaimana serpihan kayu yang didakwa daripada bahtera Nabi Nuh berjaya dibawa keluar dari negara itu ke China. - Agensi



No comments:

Post a Comment